Looking For Anything Specific?

Responsive Advertisement

Review Internasional

Responsive Advertisement

 “Aku akan melemparimu dengan kotoran,

 Aku akan memperlakukanmu dengan hina dan menjadikanmu tontonan”

Courtesy of  United International Pictures Malaysia

Jordan Peele akhirnya kembali ke layar perak dengan sebuah filem yang sangat mempesona, mengubat sedikit sebanyak rindu para peminat kepada hasil karyanya yang inovatif dan tidak sehaluan norma. Nope merupakan sebuah filem bergenre western American/sci-fi/horror yang secara dasar, mengisahkan tentang dua adik beradik, OJ (Daniel Kaluuya) dan Emerald Haywood (Keke Palmer) dari Agua Dulce yang bekerja sebagai animal wrangler yang harus menjual perniagaan keluarganya kepada Jupe (Steven Yeun), pengusaha Jupiter’s Claim, dan kemudiannya terserempak dengan suatu objek terbang yang tidak dikenali dan ingin mengeksploitasi situasi tersebut demi keuntungan dan populariti.

Pada filem-filem sebelumnya, Jordan Peele banyak menekankan isu-isu dan metafora berat berkaitan bangsa, status quo dan pelbagai lagi kritikan yang spesifik. Namun, melalui Nope, beliau memfokuskan lebih kepada kritikan sosial yang bersifat umum atau lebih tepat kemanusiaan. Get Out dan Us memaparkan sesuatu perspektif objektif dari sudut pandang pengarah sendiri tetapi Nope lebih luas, subjektif dan mampu mencipta pelbagai teori serta idea-idea menarik untuk dikupas pasca penontonan filem ini. Antara alegori kepada objek seperti UFO yang utama dan tampak agak nyata dalam filem ini adalah kapitalisme dalam kemanusiaan yang memudaratkan.

Courtesy of  United International Pictures Malaysia

Pembukaan tirai Nope telah memberi para penonton sedikit idea kepada kapitalisme yang membawa mudarat melalui babak cipanzi bernama Gordy yang berlumuran darah di sebuah studio rakaman program sitkom. Babak ini dilebarkan lagi penceritaannya ketika pengenalan watak Jupe melalui beberapa flashback, di mana layar disajikan aksi Gordy yang hilang kawalan dan mula menyerang para pelakon dan krew di studio rakaman. Ini memperlihatkan bagaimana rating, jumlah tontotan dan populariti menjadi keutamaan untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan mudarat yang boleh dibawa Gordy disebabkan culture shock ataupun belum cukup terlatih. Perkara yang sama berlaku kepada Jupe yang mengumpul penonton di Jupiter’s Claim untuk menyaksikan ‘persembahan’ kemunculan alien dari UFO yang dia gelarkan sebagai ‘The Viewers’ untuk menaikkan semula pusat hiburannya yang semakin tidak relevan namun sebaliknya yang terjadi, mengorbankan dirinya dan semua yang berada di ‘persembahan’ tersebut.


OJ dan Emerald, yang terdesak untuk mendapatkan wang selepas menjual pengusahaan kuda keluarga mereka pula ingin mendapatkan rakaman UFO tersebut untuk menjadi tular, popular, kaya dan sanggup berkorban untuk membeli segala peralatan bagi menjayakan tujuan ekploitasi mereka itu dengan bantuan Angel dan Antlers. Pelbagai insiden berisiko dan hampir mengundang maut yang mereka tempuhi demi perkara- perkara material dengan cara bersenda dengan kejadian alam.


Courtesy of  United International Pictures Malaysia

Nope juga menggambarkan alegori UFO sebagai budaya pemerhatian, yang kini sering menular dalam kehidupan seharian dan di media sosial, di mana manusia sering ingin mengambil tahu sesuatu yang tidak perlu dan sentiasa ingin memerhati namun apabila perkara sama yang terjadi kepada diri mereka, mereka akan memberontak. Sebagai contoh, babak kuda bernama Lucky di studio penggambaran komersil yang mengganas setelah melihat refleksi dirinya sendiri.


Selain itu, terdapat babak di mana Emerald memarahi Angel yang dalam diam memerhatikan rakaman kamera yang dia dan abangnya gunakan untuk merakam kejadian UFO, ironik dan menarik. UFO itu sendiri adalah contoh terbaik dalam pencorakan tema alegori ini di mana dia sering berselindung di sebalik awan sentiasa memerhati namun terus memberontak jika ia terlihat sesiapa yang memandangnya dan dek kerana ego, di klimaks filem ini, sebuah belon gergasi berbentuk budak lelaki bertentangan dengannya kemudian ia memakan belon tersebut lalu meletup mengambil nyawanya sendiri.Menyentuh soal watak pula, sayang sekali, OJ atau Daniel Kaluuya yang membawa watak pendiam dan pasif sukar untuk diberikan kredit kecemerlangan dalam soal ini tidak seperti pembawakannya dalam Get Out yang sangat menarik untuk diikuti alur emosi dan penceritaan wataknya. Namun begitu, Emerald atau Keke telah memberikan satu sentuhan baik dalam lakonannya yang membawa mood intense, thrill dan pada masa yang sama tetap santai secara konsisten sepanjang perjalanan filem Nope ini, sudah pastinya menenggelamkan watak abangnya. Dua watak lain yang mudah untuk digemari adalah Jupe dan Angel, masing-masing memberikan vibe yang berlainan namun mempunyai ekspresi dan impresi watak tersendiri yang tampak aksentrik, membantu menyeimbangi stress penceritaan filem ini.

Courtesy of  United International Pictures Malaysia

Daripada sudut teknikal, terdapat pelbagai aneka keanehan dalam sentuhan sinematografi filem ini sebagai contoh penggunaan syot-syot yang lari dari skala konvensional namun ia tidak kelihatan janggal, malah membantu dalam pembinaan jalan cerita, sebati dengan kompleksiti filem Nope. Selain itu, filem ini mempunyai look and feel serta color grading yang berkonsepkan muted atau kelam dalam kepekatan warna malah kelihatan seperti filem yang tidak selesai penyuntingan warna. Daripada sudut pandang yang berbeza, pendekatan ini mungkin juga digunakan oleh Peele untuk memberi rasa tidak keselesaan, kekosongan dan menggambarkan betapa sadisnya kehidupan manusia. Bagi mereka yang meminati bunyian skor muzik dalam A Quiet Place atau Dune, filem ini tidak akan menghampakan kerana kualiti serta pemilihan skor yang tepat mengikut babak adalah sangat memukau dan enak.


Jika kalian sudah lama tidak merasakan katarsis dalam panggung wayang, wajarlah sekiranya filem Nope ini menjadi pilihan. Walaupun jalan ceritanya agak perlahan, jika dibawa rasa serta mood bersama watak-watak dalam filem ini, ditemani sinematografi dan skor muzik yang baik, pastinya akan terhibur atau terkedu memproses teori-teori dan perspektif ketiga tanpa sedar tentang kemungkinan Jordan Peele hanya membikin filem ini secara rawak dan spontan, ingin memaparkan sebuah filem sci-fi biasa yang berkaitan alien di Agua Dulce, suatu kawasan yang sering disinonimkan dengan pencemaran alam. Atau adakah UFO itu simbol pencemaran?


*Akan lebih menarik untuk tonton ulang lagi dipawagam* Terima kasih kepada pihak United International Pictures Malaysia sudah menjemput kami hadir ke tayangan filem ini.


Rating : 8/10


Get Out

Nope 

US


Tonton trailer NOPE disini :

Post a Comment

Previous Post Next Post