Looking For Anything Specific?

Responsive Advertisement

Review Internasional

Responsive Advertisement

 

Courtesy of ACT 2 Pictures

Setelah setahun, muncul kelahiran kedua daripada hasil tangan pengarah baru, Hairul Azreen dengan sekuel terbaru Ada Hantu 2, sebuah filem yang mengisahkan tentang lima sekawan, Aliff (Zahiril Adzim), Bariah (Shiqin Kamal), Talha (Hairul Azreen), Jimmy (Nafiez Zaidi) dan Sasha (Elvina Chua) yang kembali ke rumah banglo lama milik arwah nenek Bariah untuk merakam konten saluran Youtube Aliff serta misi mencari jawapan misteri kemunculan hantu Jepun dan hantu Kimono yang menyelusuri mimpi Bariah. Seperti klise filem seram, sekumpulan rakan tersebut mula diganggu oleh satu sosok misteri yang secara tiba-tiba muncul di dalam rumah banglo yang sama dan kemudiannya berlaku insiden-insiden seram dan huru-hara ke atas kelima-lima watak utama tersebut.

Courtesy of ACT 2 Pictures

Genre komedi seram yang diserap daripada prekuel sebelumnya masih lagi dikekalkan pada Ada Hantu 2 ini. Daripada sudut penceritaan, para penonton sedia maklum Ada Hantu 1 mempunyai plot twist yang besar di struktur plot act 3, dan pastinya akan ada jangkaan twist yang sama atau lebih pada sekuelnya ini.Terdapat perbalahan rasa usai menyaksikan transisi plot penceritaan filem ini yang akan memberikan sama ada senyuman ataupun kehampaan, terutama sekali kepada mereka yang meletakkan harapan yang tinggi untuk elemen plot twist dalam filem ini. Walaubagaimanapun, perubahan gaya cerita yang drastik itu mempunyai sebab dan motif yang relevan, memberi justifikasi yang kukuh untuk penceritaan Ada Hantu 2 ini, walaupun terdapat cacat cela yang tidak renggang daripada prekuel yang sebelumnya, selain mempunyai pengakhiran yang terlalu janggal dan aneh untuk diselitkan sebagai penutup. Terdapat juga rujukan yang tampak jelas digunakan oleh filem ini, yang mengambil acuan cerita sebuah filem Jepun yang diarahkan oleh Shinichirou Ueda yang dikeluarkan sekitar 5 tahun lepas, tapi dalam skala yang lebih bersederhana.

Courtesy of ACT 2 Pictures

Menyentuh soal lakonan, ia bukanlah kekuatan utama dalam filem ini, kerana gaya lakonan setiap pemeran masih di takuk yang lama, masih serba biasa. Satu watak dominan yang menambah seri dan banyak membantu dalam menggerakkan mood yang konsisten untuk Ada Hantu 2 ini adalah Aliff, seperti yang sebelumnya, tetap yang lebih baik daripada yang lainnya dari segi memerankan watak secara teliti, bebas dan konsisten. Satu perkara yang menarik, watak Talha lakonan Hairul Azreen yang juga pengarah filem ini, tidak menapak lebih daripada julat perwatakannya, tidak seperti sesetengah nama besar tempatan yang mengarah dan juga menjadi tunjang utama pemeran filem mereka sendiri.

Courtesy of ACT 2 Pictures

Sesebuah filem komedi seram tanpa menyentuh elemen komedinya pasti tidak lengkap. Ada Hantu 2 harus diangkat kerana penulisan komedinya yang sangat baik dan sekalung syabas kepada Adrian Teh dan Amar Amir. Filem ini menyajikan 'comic relief' yang santai, ringan, mudah untuk dihadam dan sangat lucu, meninggalkan prekuel filem ini di takuk yang jauh ke belakang, tetapi tidaklah segila Tiga Janda Melawan Dunia mahupun Abang Long Fadil 3. Selain itu, terdapat juga lontaran jenaka yang berunsurkan satira, kritikan sosial yang menjadi kekuatan utama elemen komedi dalam filem ini. Ia disampaikan dengan baik dengan mood yang konsisten. Namun begitu, terdapat juga lawaklawak yang terlalu extravaganza, di luar kotak sehingga membuatkan para penonton harus membuat keputusan untuk ketawa semata-mata memeriahkan panggung atau diam sendiri memikirkan di manakah keberadaan jenaka tersebut.

Filem komedi seram Ada Hantu 2 ini merupakan filem yang serba sederhana daripada segi penceritaan dan penyampaian teknikal horror namun sangat baik dalam menyajikan hidangan jenaka yang pelbagai rasa serta dekat dengan penonton-penonton tempatan. Cahaya mata kedua daripada Hairul Azreen, filem Ada Hantu 2 akan menghantui dan menggeletek para penonton di seluruh negara mulai 15 September 2022.

Rating : 6.5/10

Tonton trailer ADA HANTU 2 disini : 

Post a Comment

Previous Post Next Post